Bab 1 Percuma
Mukadimah / Sepatah Kata
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Aku menulis risalah kecil ini bukan kerana aku alim, bukan kerana aku sempurna. Aku hanyalah seorang pemuda yang banyak tersungkur, yang Allah tarik pulang dengan rahmat-Nya.
Jika kau pernah tersasar, pernah lemah, atau sedang mencari jalan pulang kepada-Nya, ketahuilah: engkau tidak keseorangan.
Setiap helaian di sini lahir dari luka, dari air mata, dari kejatuhan seorang hamba yang akhirnya memilih untuk kembali.
Jika ada kebaikan di dalamnya, itu datang dari Allah. Jika ada kelemahan, itu datang dari diriku sendiri.
Semoga ia menjadi cahaya penunjuk arah untuk aku dan kau, agar setiap langkah kita lebih dekat kepada-Nya.
Ya Allah, redhailah usaha kecil ini. Jadikan setiap jiwa yang membaca mendapat manfaat, hidayah, dan kekuatan untuk terus pulang kepada-Mu.
— Bab 1 —
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan saling menasihati dengan kebenaran serta kesabaran.”
Surah Al-‘Asr: 1-3
Aku tidak pulang kerana aku kuat. Aku pulang kerana aku sudah tidak sanggup hidup dalam kerugian.
Setiap hari yang berlalu tanpa arah itu rugi. Setiap langkah yang tidak mendekatkan aku kepada Allah itu rugi. Aku pernah diberi masa, tenaga, dan peluang, tapi aku sia-siakan. Namun Allah tidak pernah berhenti memanggil aku kembali.
Mungkin kau pun rasa macam tu sekarang. Penat kejar dunia tapi hati tetap kosong. Itu bukan sebab kau lemah. Itu sebab hati kau sedang ditarik pulang.
Hari ini aku kembali bukan kerana gelaran atau kejayaan, tetapi kerana luka-luka yang membimbingku. Satu kefahaman yang akhirnya melekat:
“Aku milik Allah, bukan milik dunia.”
Dulu aku leka. Setiap keputusan yang salah, setiap pilihan yang melalaikan, itu semua jadi guru. Bukan untuk aku salahkan diri sampai lumpuh, tapi untuk jadi pengingat. Setiap kehilangan adalah petunjuk Allah. Setiap kecewa adalah pintu untuk kembali sujud.
Aku menulis bab ini supaya aku sendiri tidak lupa arah pulangku. Dan supaya kau yang membaca, tahu kau tidak keseorangan di jalan ni.
Langkah Praktikal Pulang
Berhenti 10 minit. Duduk diam lepas Isyak. Tiada phone. Tanya hati: apa satu benda yang paling jauhkan aku dari Allah minggu ni?
Tulis dan taubat. Tulis benda tu atas kertas. Istighfar 70 kali. Kemudian koyak kertas tu. Niat tutup bab lama.
Ganti dengan satu amalan kecil. Jangan terus nak berubah semua. Pilih satu saja dan pegang 7 hari: Solat Subuh berjemaah, atau 1 muka Al-Quran sebelum tidur, atau zikir 100x lepas Asar. Konsisten kecil lebih Allah suka dari besar tapi putus.
Soalan Muhasabah
— Apa yang kau kejar sekarang, adakah ia benar-benar membawa kau pulang kepada Allah?
— Jika esok kau tiada lagi, apakah kau sudah benar-benar hidup untuk-Nya?
— Apa satu ikatan dunia yang masih kau genggam diam-diam, yang menghalang kau pulang sepenuhnya?
Ya Allah, aku pulang bukan kerana aku kuat, tapi kerana hidup tanpa-Mu adalah kerugian yang paling besar. Pegang hatiku, jangan lepaskan aku lagi.
— Shah Asyraf
Sambungan Segalanya UntukMu Ya Allah menantimu.
Teruskan bacaan penuh dengan 7 bab muhasabah, doa-doa pulang,
dan jurnal hati yang membimbing langkahmu kepada-Nya.
PDF dihantar ke email selepas bayaran FPX · Akses serta-merta