Bab 1 Percuma
“Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan
diri dari hawa nafsunya, maka syurgalah tempat tinggalnya.”
Surah An-Nazi'at, 40-41
Ada satu malam dalam hidup seorang lelaki, di mana dia sedar bahawa apa yang dia kejar selama ini bukanlah apa yang dia perlukan.
Malam itu aku memandang kembali hidupku, dan aku berkata:
“Aku bukan lagi hamba kenangan.”
“Aku bukan lagi pemuja rasa yang sementara.”
Bukan sebab aku dah jadi baik. Bukan sebab aku dah jadi suci. Tetapi kerana aku akhirnya nampak siapa yang aku ikut selama ini: nafsu.
Dan aku berkata kepada diriku:
“Nafsu, kau bukan raja. Kau bukan tuan. Kau hanya anak kecil yang keras kepala, dan hari ini aku akan ajar kau siapa pemilik sebenar jasad ini.”
Kerana sepanjang hidup kita sangka kitalah yang mahu itu dan ini, padahal yang menuntut tanpa malu itu bukan diri kita. Minta sedap. Minta hiburan. Minta pelarian. Minta dilayan seolah jasad ini tiada amanah lain.
Lalu aku jawab: “Jasad ini bukan rumah untuk nafsu. Jasad ini rumah untuk sujud. Untuk solat. Untuk zikir. Untuk ibadah.”
Malam itu aku melepaskan diriku yang lama. Aku tinggalkan dunia yang penuh kabus dan khayalan. Rupanya aku tidak rindukan manusia. Aku rindukan suasana — suasana tenang, bersih, dekat dengan Allah.
Dan bila aku memilih untuk berjalan pulang, hati ini mula rindu kepada Allah dan Rasul-Nya lebih daripada rindu kepada manusia. Kerinduan itu menenangkan. Dan pada masa yang sama, ia menguatkan.
Aku berkata kepada dunia: “Selamat tinggal dunia yang dikaburi nafsu. Aku tinggalkan rasa yang menjerumuskan aku ke lembah lupa. Aku tinggalkan versi diriku yang dulu terlalu lemah.”
Kerana hijrah itu bukan lari dari manusia. Hijrah itu lari daripada kegelapan yang kita bina sendiri. Hijrah itu kembali kepada fitrah.
Malam itu juga tubuhku memberi isyarat. Letih yang lama tertahan. Seolah jasad ini berkata: cukup. Dan aku tersedar: badan ini bukan milikku. Ini amanah. Kalau rosak, aku yang akan ditanya.
Maka aku belajar untuk rehat. Belajar dengar suara jasad. Belajar tidak hancurkan tubuh yang Allah amanahkan untuk memikul sujud dan ibadah.
Dalam semua mujahadah itu, aku mula melihat dengan mata hati: yang kekal hanyalah Allah dan Rasul. Yang lain semuanya sementara, datang dan pergi mengikut takdir.
Dan bila aku letakkan dunia kembali ke tempat asalnya, aku merasakan satu kekuatan baru. Kekuatan seorang lelaki yang tidak lagi ditarik oleh rasa, tetapi ditarik oleh cahaya.
Malam ini aku menulis bukan kerana aku sudah sampai. Tetapi kerana aku telah mula berjalan.
Inilah langkahku. Langkah yang tidak akan aku undurkan lagi.
Amalan Malam — Putuskan Satu
Malam ni, sebelum tidur. Ambil kertas kecil. Tulis satu perkara, satu tabiat, satu pintu yang kau tahu sedang tarik kau jauh dari Allah. Lipat. Letak tepi sejadah. Solat taubat dua rakaat. Dalam sujud, sebut: “Ya Allah, ini yang aku tinggalkan kerana-Mu. Gantikan dengan cahaya-Mu.” Itu saja. Itu permulaan.
Renungan Malam
Kalau bukan malam ini aku pulang, bila lagi?
— Shah Asyraf